Saya terdengar berita-berita yang sambutan Krismas dilarang di Brunei. Jadi saya pergi ke gereja terbesar Brunei, kira-kira lima belas minit dari tempat saya, untuk melihat bagaimana pelarangan itu mengesankan minoriti Kristian di tanah kecil kaya minyak ini.
Untuk rekod, enam puluh tujuh peratus populasi di Brunei adalah Islam. Manakalah tiga belas peratus populasi adalah penganut Buddha dan sepuluh peratus lainnya adalah Kristian. Sepuluh peratus lagi adalah penganut-penganut berbagai agama termasuk agama-agama asal.
Saya memulakan perjalan ke Church of Our Lady of the Assumption yang mana terletak di Bandar Seri Begawan, ibu negara Brunei. Ia adalah gereja terbesar Brunei, di depannya ada lagi sebuah gereja bercat biru, St Andrews Church. Pada masa saya tiba di destinasi sekitar 8.30 pagi, jalan-jalan sesak. Kereta-kereta dipakir di kedua-dua bahu jalan. Ada beberapa gerai dibuka sepanjang jalan berdekatan pintu masuk gereja menjual pakaian, minuman dan makanan.
Saya ada berbual dengan seorang perempuan di luar gereja, saya memberitahu telahan saya yang Krismas dilarang sambutannya di Brunei?
Dia memberitahu yang larangannya hanya untuk orang Islam dan di tempat-tempat awam, dalam gereja dan harta swasta, mereka boleh sambut seperti biasa. Itu menerangkan dengan jelas mengapa saya tidak nampak sebarang pokok Krismas di dalam pusat beli-belah.
Saya masuk dengan rasa ingin tahu ke dalam ruang gereja. Ini kali pertama saya memasuki gereja. Sebelum pintu masuk, ada beberapa baris tempat duduk, untuk mereka yang tidak dapat masuk ke dalam dewan utama. Di sebelah kanan, mereka meletakkan segergasi hiasan pokok Krismas, tetapi ia tidak berapa nampak seperti pokok.
Anda boleh lihat di dalam gambar. Ramai orang mengambil gambar dan selfie di pokok ini, di belakang pokok itu ada slogan "Peace On Earth" (Keamanan Di Bumi). Jauh ke belakang di bahagian kiri, ada patung Mary dengan tangan terbuka luas di dalam pakaian putih dan ada kain biru tergantung dari bahunya.
Di pintu masuk dewan utama, ada semangkuk air, yang mana saya kira adalah 'air suci'. Mereka akan menyentuhnya sedikit menggunakan tangan mereka, dan mereka akan membuat isyarat salib sebelum masuk ke dalam dewan utama.
Pada pukul sepuluh di dalam dewan utama, upacara bermula. Dewan penuh. Saya boleh lihat pelbagai latar belakang orang di dalamnya, Cina, Eropah, Filipina, Indonesia dan beberapa India. Mereka mula menyanyikan beberapa lagu dengan dibantu oleh pasukan koir dengan piano dan gitar yang duduk di aras pertama.
Paderi berjalan dengan tongkat memasuki pintu utama ditemani lapan paderi lain yang memegang Injil. Seorang perempuan Cina rupawan kemudiannya meletakkan buku itu di atas meja sebelum paderi mengambil duduknya di hadapan dewan. Sebelum dia duduk, dia memberikan tongkatnya kepada seorang kanak yang berjubah putih.
Selesai menyanyikan beberapa lagu, tiga orang mengambil giliran ke kekaki membacakan cebisan daripada Injil untuk beberapa minit. Terakhir sekali adalah paderi sendiri, dalam kira-kira tiga puluh minit pembacaan panjang.
Pukul sebelas pagi, ritual berakhir dan saya nampak beberapa orang keluar memegang kayu dengan dihujungnya diikat kain putih untuk mengutip derma.
Ini adalah pandangan saya tentang bagaimana Kristian menyambut Krismas di Brunei walaupun dilarang. Saya harap ia menerangkan segelintir masyarakat yang menganggap Krismas telah dilarang secara menyeluruh di Brunei. Larangan tersebut hanyalah terpakai kepada orang Islam sahaja dan di tempat-tempat awam. Di gereja dan tempat-tempat persendirian, sambutan berlangsung seperti biasa.
Perkongsian oleh Muhamad Harris Nasril
EmoticonEmoticon