Apakah Perkara Yang Manusia Paling Takut Untuk Hadapi Dalam Kehidupan?

Setiap kehidupan manusia ada cabarannya. Hidup kita telah diatur untuk merasa dugaan menerusi pelbagai cara. Namun, adakah anda semua sudah benar-benar bersedia dari segi mental dan fizikal? Cabaran datang dengan tidak diduga, setiap manusia lain cabaran yang diterima. Hatta, perkara yang tidak dijangka sekalipun boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja.


Manusia dianugerahkan dengan mempunyai rasa yang pelbagai dalam kehidupan tidak kira sedih, gembira, sengsara, bahagia dan sebagainya. Setiap perjalanan hidup kita ada jatuh dan naiknya. Tetapi, sejauh manakah persediaan kita untuk menghadapi rasa ketakutan yang mungkin menimpa diri sendiri suatu hari nanti? Berikut merupakan perkara-perkara yang sememangnya sering terjadi dalam kehidupan dan merupakan perkara yang paling manusia takut untuk hadapi.

1) Takut Ditolak
Normal bagi setiap manusia yang pernah melalui saat-saat ditolak atau dikecewakan. Saat dimana kita merasa keseluruhan hidup kita mula berasa kosong, hilang keyakinan dan hilang semangat. Apa pula pengalaman anda? pernah gagal dalam cinta? Kahwin? Bersabarlah, pengalaman ditolak itu bukanlah pengakhiran cerita dalam hidup anda semua.

2) Takut gagal


Pengalaman jatuh bangun kembali sentiasa terjadi dalam kehidupan manusia. Pengalaman jatuh mendorong kita untuk tidak berputus asa supaya bangun berdiri kembali. Jika sedang jatuh, jangan takut untuk bangkit kembali. Jika pernah jatuh, jadikan pengalaman itu sebagai pendorong untuk menjadi yang lebih baik untuk masa hadapan.

3) Takut Miskin


Sesiapa pun tidak mahu hidup dalam keadaan susah. Namun, kita haruslah sentiasa bersyukur dengan rezeki yang kita ada. Jika anda takut miskin, berusahalah dari sekarang. siapa lagi kalau bukan diri sendiri yang harus ubah, ya tak?

4) Takut Dikritik


Sikap suka mengkritik antara satu sama lain sudah menjadi perkara biasa. Apabila dikritik, kita akan mula berasa rendah diri, hilang keyakinan dan cepat berputus asa. Apabila fenomena kritik mengkritik sudah menjadi lumrah kehidupan, yang betul pun akan jadi salah. Yang salah pun akan jadi betul. Kadang-kadang, diri sendiri akan jadi mangsa keadaaan.

5) Takut Sakit


Jatuh sakit itu satu perkara yang tidak dapat dijangka dan pasti berlaku. Mungkin hari ini, kita sihat walafiat, keesokan hari pula siapa yang tahu? Jatuh sakit boleh berlaku kepada sesiapa pun tanpa mengenal usia. Jadi, sementara umur masih muda, jagalah kesihatan. Semua yang berlaku di atas kehendakNya. Hargailah setiap nikmat yang diberi selagi usia umur masih panjang.

6) Takut kehilangan Orang Tersayang


Perkara ini antara isu yang paling manusia takut hadapi. Kehilangan orang yang tersayang tidak kira kekasih, tunang, sahabat serta ahli keluarga adalah sesuatu yang memeritkan. Selain itu, manusia juga hatinya cepat berubah. Kadang-kadang berubah tanpa dijangka. Kadang-kadang leka dan tidak sedar akan kesilapan sendiri. Hargailah orang yang tersayang sebelum terlambat.

7) Takut Berjaya


Takut berjaya? Kenapa mesti takut untuk berjaya? Sebenarnya manusia ada satu sifat apabila berjaya dan mungkin kejayaan itu akan mengubah hidup beliau, akan timbul satu pemikiran di mana banyak perkara-perkara negatif yang mungkin akan berlaku terutamanya jika wang mengatasi segalanya. Akan timbul perasaan sombong, riak, bongkak dan mungkin akan menjadi lebih tamak haloba. Namun, kita tidak tahu apa yang mungkin akan berlaku pada masa hadapan bukan? Jangan birkan diri anda dikelilingi oleh perkara yang negatif kerana perkara-perkara itu akan memudaratkan diri sendiri kelak.

8) Takut Keseorangan


Manusia takut keseorangan, mereka takut jika diri sendiri tidak dibantu dan tiada sokongan dari pihak lain. Pernahkah anda terfikir, adakah bantuan dan sokongan yang anda terima itu dari pihak yang betul? Kadang-kadang orang banyak mengambil kesempatan disebabkan mereka tahu kelemahan diri kita. Jadi, kita harus bijak mengurus diri dan jangan sesekali biar orang nampak kelemahan kita. Belajar untuk berdiri di kaki sendiri.

9) Takut Tua


Anda tidak perlu takut dengan usia. Yang pasti, umur akan semakin meningkat tua dan suatu hari nanti kita akan tetap meninggalkan dunia ini. Manusia sanggup membuat pembedahan plastik, suntik pelbagai vitamin di muka semata-mata tidak ingin kelihatan tua dan ingin kekal cantik. Namun, semua itu hanyalah sementara, dan tidak akan kekal. Luaran tidak penting, dalaman memainkan peranan untuk membuktikan hati kita cantik atau tidak.

10) Takut Mati


Kematian adalah sesuatu perkara yang sangat menakutkan. Ajal dan maut semua di atas kehendakNya. Tiada siapa tahu bila kematian akan menjemput kita. Selagi masih hidup, ajar lah diri untuk sentiasa beramal dan membuat kebaikan.

11) Takut Kehilangan Sesuatu


Ketakutan hanya memberi tekanan. Keluarlah dari kelompok “ Takut” sebab ianya wujud dalam diri sendiri berdasarkan pemikiran yang anda cipta. Jangan biar perasaan takut menguasai diri. Jika tidak, kita akan sentiasa berada di tempat yang sama dan tidak akan maju sampai bila-bila.

Artikel diatas dipetik dari Facebook Azizan Osman, beliau adalah figura yang tidak asing lagi di Malaysia. Banyak menghasilkan buku-buku berkaitan motivasi dan perniagaan serta panduan kepada usahawan yang baru memulakan langkah.

Azizan Osman mendapat perhatian negara kerana beliau kerap menganjurkan seminar keusahawanan dan kebanyakan peserta yang menyertai seminar tersebut kini sudah bergelar usahawan berjaya.

Azizan Osman



Previous
Next Post »