Bagaimana Memiliki 3 Buah Rumah Tanpa Bebankan Diri?

Artikel di bawah adalah perkongsian dari saudari Syafieqah A'lya seorang penulis yang arif mengenai isu kewangan.



Beliau kerap berkongsi tips di Facebook mengenai pengurusan kewangan dan perancangan masa depan yang lebih ideal.

Dalam tulisannya di bawah, Syafieqah meletakkan cara mudah bagaimana untuk memiliki aset iaitu rumah dengan bijak tanpa perlu mengeluarkan modal dan kos yang tinggi.

Sungguhpun di akhir penulisan titipan ini hanyalah sekadar ilustrasi, tapi yang lebih penting adalah input yang disampaikan mungkin akan menjadi realiti jika anda benar-benar menggunakan kaedah yang dikongsikan beliau.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan garis panduan dalam merancang masa depan anda. -HarianBlogger.Com



Saya nak kongsi sedikit langkah mudah yang saya fikir semua pasangan muda mampu mrealisasikannya.

Baru bekerja: umur 23 tahun
Gaji Lelaki: RM2,000
Gaji Wanita: RM2,000

Andaikan gaji meningkat RM100 setiap tahun.

1. Lelaki guna dulu motosikal yang dibeli semasa belajar. Jangan beli kereta dahulu.

2. Wanita beli kereta Perodua Axia, komitmen bulanan RM500.

3. Lelaki buat pembiayaan ASB RM100,000 atau tempoh pembiayaan 30 tahun dengan komitmen bulanan RM550. Jangan usik dividen selama tiga tahun. Dividen yang terkumpula dalam masa 3 tahun @ 7.25% dividen tahunan = RM23,300 + jual sijil (RM4,500) = RM27,800 (tunai)

4. Wanita buat pembiayaan ASB RM50,000 dengan komitmen bulanan RM275. Jangan usik dividen selama tiga tahun. Dividen yang terkumpul 3 tahun @ 7.25% dividen tahunan RM11,650 + jual sijil (RM2,250) = RM13,900 (tunai).

5. Berkahwin lelaki dan wanita. Jumlah cash ada di tangan RM42,700. Peruntukan untuk majlis perkahwinan RM10,000 sahaja. Kalau ibu bapa atau keluarga nak buat lebih meriah, minta mereka yang hulurkan wang tambahan.

Teguhkan hati dengan peruntukan RM10,000 yang ada. Tidak memalukan rasanya kalau kahwin secara sederhana. Lebih baik bijak daripada nampak hebat untuk satu hari. Kita bukan nak berkahwin sehari sahaja kan?

6. Baki wang tunai yang masih dimiliki oleh pasangan ini ialah RM31,700. Nak buat apa? Carilah aset yang positif, yang mendatangkan positif cash flow.

7. Lelaki cari rumah pertama. Rumah kos rendah pun tak mengapa. Cari rumah yang berharga di bawah RM100,000. Jika tiada, pergilah mencari, semestinya ada. Lelong atau subsale.

EPF akaun 2 adalah dalam RM5,500. Peruntukkan RM10,000 tunai untuk urusan ini + keluarkan duit EPF akaunm 2 RM5,500. Mana fee yang boleh masuk dalam pembiayaan bank, masukkan. Bayaran bulanan untuk rumah tersebut RM450. Andaikan sewa rumah tersebut RM600 sebulan dan buat tenancy agreement.

8. Wanita juga carilah rumah pertama, kos rendah pun tak mengapa. Cari harga yang kurang dari RM100,000. Kalau tiada? Carilah sampai dapat, mesti ada. Lelong ataupun subsale.

EPF akaun 2 adalah dalam RM5,500. Peruntukkan RM10,000 tunai untuk urusan ini + keluarkan duit EPF akaunm 2 RM5,500. Mana fee yang boleh masuk dalam pembiayaan bank, masukkan. Bayaran bulanan untuk rumah tersebut RM450. Andaikan sewa rumah tersebut RM600 sebulan dan buat tenancy agreement.

9. Pasangan menyewa rumah terlebih dahulu bagi tempoh 3 tahun. Kalau masih tinggal dengan keluarga, lagi bagus. Untuk sementara waktu, jimat sedikit perbelanjaan. Baki simpanan masih ada RM11,700.

10. Dari EPF akaun 2 bagi kedua-dua pasangan ini sudah boleh menampung RM150 sebulan untuk pengeluaran bayaran bulanan rumah masing-masing. Jadi, komitmen untuk rumah masing-masing hanya RM300 sahaja bagi setiap seorang.

11. Dari pendapatan sewa pasangan ini, RM600 + RM600, buat pembiayaan ASB RM100,000 setiap seorang. Gunakan duit pendapatan sewa itu untuk bayaran bulanan. Jangan diusik dividennya selama tiga tahun. Jumlah dividen yang terkumpul ialah RM46,700 + jual sijil lelaki (RM64,700).

12. Kekalkan pembiayaan RM100,000 ASB wanita sehingga habis tempoh pembiayaan dengan komitmen bulanan RM600 secara konsisten lagi 22 tahun dan jangan usik dividen untuk tujuan simpanan jangka panjang, selepas 22 tahun. Jumlah simpanan yang terkumpul ialah RM516,000.

13. Berbekalkan cash pada langkah 11, RM64,700. Beli pula rumah untuk diri sendiri. Saya beri contoh RM300,000. Buat pembiayaan bersama antara lelaki dan wanita jika perlu.

Baki duit cash yang ada juga boleh digunakan untuk renovate minor dan perkakasan rumah yang lain. Komitmen bulanan rumah ini lebih kurang RM1,350. Waktu ini, gaji pun sudah meningkat dan pasangan ini tiada masalah untuk membayarnya kerana telah memiliki disiplin dan karekter simpanan yang sudah dibuat sebelum ini. Pandai-pandailah kongsi bayar. Nak hidup selesa bersama kan?

14. Setidak-tidaknya dalam tempoh ini mereka sudah ada tiga buah rumah, kereta pun sudah hampir habis dibayar. Gaji sudah meningkat, bolehlah tukar kereta.

Penafian:

Ini sekadar ilustrasi saya tanpa mengira faktor kos-kos yang lain. Bagi saya, kos boleh dicukupkan dengan mencari pendapatan tambahan tetapi perancangan masa hadapan dan disiplin hanya diri kita sendiri mampu mengubahnya. Tiada alasan, nak atau tidak sahaja.

Selamat mencuba terutamanya golongan muda yang sama seperti saya yang masih mencari arah tujuan.

Untuk mengetahui sebarang info berkaitan kewangan dan pengurusan aset yang lain layari Facebook Syafieqah A'lya.
Previous
Next Post »