Kisah Isteri Yang Terpaksa Cari Ibu Susuan Bayinya

Ikuti perkongsian seorang lelaki yang juga suami menceritakan pengalamannya dalam menguruskan rumahtangga dan bagaimana beliau menyelusuri jerit payah seorang insan bergelar isteri.


Abu Hannah dalam posting beliau pada 28 Januari lalu telah mendapat perkongsian hampir 15 shares di Facebook. Ramai netizen melemparkan rasa terharu akan kisah yang dikongsikan beliau.

Ingat dalam melayari bahtera rumahtangga, peranan suami sangatlah besar dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.

Peranan ini bukan semata-mata terletak pada bahu isteri dalam menguruskan anak-anak, malah suami turut sama terlibat dan meresapi segala keperitan dan pengorbanan yang dizahirkan oleh sang isteri.

Moga menjadi panduan buat anda yang bergealar yang telah atau bakal bergelar isteri, memetik kata-kata penulis Abu Hannah, inilah maharnya sebuah rumah tangga. Mahar membesarkan puteri dan putera kerana hamba juga suami.

Editor: Artikel ini dimuatnaik semula untuk tatapan pembaca HarianBlogger.Com

Semoga bermanfaat.

Nukilan Abu Hannah

Siapa kenal beg tu?

Ibu-ibu menyusu badan mesti tahu. Dalam beg itu ada kelengkapan alat-alat si ibu.

Kalau pergi kerja tertinggal tu, mesti aku kena bertukar menjadi Gaban dan hantar alat tu ke tempat kerja isteri aku.

Kalau tak hantar alat tu, isteri aku akan susah hati. Mungkin akan ambil di rumah sendiri.

Ke mana pun dia pergi, beg itu seakan bercantum dengan diri. Seminar, mesyuarat, naik flight. Semua tempat diusung beg itu.

Malam itu aku terjaga, sebab nak buang air kecil. Waktu aku bangun dari katil, aku cuma nampak anak aku. Isteri aku hilang entah ke mana.

"Vebbbb… vebbbb…," kedengaran suatu bunyi dari arah ruang tamu.

Bunyi getaran yang aku biasa dengar. Itulah bunyi getaran alat pam elektrik isteri aku. Memang kebiasaannya dia akan berjaga tengah malam untuk siapkan stok susu anak aku.

Cuma malam ini lain sedikit. Aku terdengar seakan suara orang menangis. Dan kedengaran bacaan Al-Quran daripada telefon bimbit.

Aku intai. Aku nampak satu susuk perempuan sedang menghadap telefon bimbit. Sambil ikut membaca alunan Al=Quran. Ya… aku masih ingat. Surah Al Qariah.

Aku diamkan diri dan terus memerhati. Baru aku nampak, 2/3 hari ini isteri aku kelihatan sugul. Stok susunya berkurangan.

Aku mengira waktu isteriku datang bulan. "Ehh… baru lepas jer period hari tu," bisikku sendirian. Sebab kebiasaannya sebelum tempoh uzur, pengeluaran susu akan berkurangan.

Patutlah semalam isteriku ada bertanya meminta izin aku untuk mencari ibu susuan buat Hannah. Namun aku tegah. Aku tidak boleh terima. Aku tidak mahu mengalah.

Aku terus ke meja tempat isteriku pam susu. Duduk rapat. Waktu ini aku betul-betul kesal. Aku cuma mementingkan pendirian aku.

"Esok kita sama-sama cari ibu susuan untuk Hannah ya?," jelasku sambil tiba-tiba duduk di sisinya.

"Eh.. Awak bangun?," jawab isteriku sedikit terkejut sambil mengesat air mata.

"Saya nak ke tandas…," jawabku ringkas sambil melemparkan senyuman.

"Awak tak kisah ke? Saya minta maaf. Sebab susu drop. Saya pun tak tahu kenapa jadi macam ini," jelas isteriku menunduk.

"Saya ingat saya sudah khatam banyak buku pasal penyusuan saya sudah bersedia untuk semua ini. Saya silap. Tuhan masih nak saya belajar lagi. Kali ni saya kena khatam bab ibu susuan dengan belajar sendiri," jelasku sambil memeluknya erat.

Dan Alhamdulilah. Bantuan daripada kawan-kawan FB, aku diperkenalkan dengan Puan Anis yang menetap di Hulu Langat. Puan Anis mempunyai seorang anak lelaki sebaya dengan anak aku. Zaim nama diberi.

Kini Hannah dan Zaim adalah adik beradik susuan yang sah. Dan kami saling bertukar salinan surat beranak dan menjaga ukhwah ini. Insyaallah Ahad ini kami akan melawat Zaim.

Suami…

Ingat. Perempuan itu adalah isteri. Mereka juga adalah ibu. Ingatan ini untuk aku dan kalian semua.

Jangan diherdik dan diseksa mereka, tatkala kalian ingin menyiksa jiwa dan zahir mereka ingatlah 2 perkara.

Di rahim mereka ada parut. Parut itu parut melahirkan zuriat kita.

Di puting susu mereka juga ada parut, parut itu akibat gigitan gigi zuriat kita.
Saat parut itu terpahat di jasad mereka. Percayalah, ianya sakit. Bahkan mereka menjerit.

Parut itu akan bersuara di mahsyar bagi pihak mereka. Dan menuntut keadilan mereka di hadapan Sang Raja Yang Esa.

Maafkan mereka. Bimbing mereka. Bijakkan mereka. Itulah matlamat kita sebagai pemimpin dalam keluarga.

Lelaki yg hebat, ialah lelaki yg mampu mencintai isterinya berulang kali. Bukan hanya sekali.

Suami…

Ambil masa. Sama-sama muhasabah diri. Nilai balik diri ini. Buat setiap hari.

Ambil masa, intai isteri bangun tengah malam, buat persiapan untuk besarkan zuriat kita.

Kerja mereka tak pernah habis. Kerja suri rumahlah paling lama. 24 jam sehari. Ditambah pula yang bekerja membantu suami di siang hari.

Hamba faham. Tidak mudah menjadi lelaki, sangat perit menjadi suami.

Tapi itu maharnya mendirikan sebuah rumah dan tangga. Mahar membesarkan puteri dan putera.

Kerana…

Hamba juga suami.
Previous
Next Post »